Solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilakukan dalam semua keadaan kerana tidak ada keuzuran yang boleh meninggalkan solat kecuali hilang akal. Namun, Islam telah memberi kelonggaran kepada pesakit-pesakit untuk melakukan solat mengikut kemampuan yang ada pada mereka sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Imran Husain bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Solatlah kamu dengan cara berdiri, jika kamu tidak mampu maka hendaklah duduk, jika tidak mampu juga, maka hendaklah kamu solat secara berbaring” (H.R. Jemaah)
Dan ditambah oleh an-Nasai:
“Maka jika kamu tidak mampu juga hendaklah solat secara tidur terlentang”.
Berdasarkan kepada nas di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang uzur/sakit tidak mampu berdiri dibolehkan solat secara duduk dalam apa keadaan yang ia selesa. Sebagaimana dijelaskan dalam Kalam Jabatan Mufti yang lalu. Seterusnya, jika tidak mampu duduk, maka hendaklah solat secara berbaring atas rusuk kanan dan muka serta dadanya mengadap ke arah kiblat. Jika tidak mampu berbaring atas rusuk kirinya dan muka serta dadanya mengadap ke arah kiblat, jika tidak mampu solat secara berbaring, maka hendaklah solat secara tidur terlentang dengan menghulurkan kaki ke kiblat serta mengangkat kepalanya dengan sesuatu seperti berlapik dengan bantal dan sebagainya bagi mengadapkan mukanya ke arah kiblat.
Ketika rukuk dan sujud pula, hendaklah membuat isyarat dengan kepala dan untuk sujud isyaratnya lebih rendah daripada rukuk, dan jika tidak mampu, maka hendaklah melakukan solat dengan isyarat melalui kelopak mata dan jika tidak mampu juga, maka hendaklah melakukan solat dengan ingatan dalam hati terhadap rukun-rukun dan sunatnya. Sebagai contohnya, mengingatkan ia sedang berdiri, kemudian membaca al-fatihah, kemudian rukuk, Iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kedua begitulah seterusnya pada rakaat-rakaat berikutnya.
Ini Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan, maka hendaklah kamu lakukannya setakat yang kamu mampu”. (H.R. Muslim)
Kesimpulannya, orang-orang yang sakit wajib solat berdiri, jika tidak mampu boleh solat secara duduk, jika tidak mampu bolehlah solat secara tidur berbaring, jika tidak mampu bolehlah solat secara terlentang, dan membuat pergerakan isyarat kepala untuk rukuk dan sujud, jika tidak mampu, bolehlah solat menggunakan isyarat kelopak mata. Dan jika tidak mampu juga, maka hendaklah solat dengan ingatan dalam hati. Oleh itu, jelaslah bahawa selagi akal masih ada, maka kewajipan solat tidak tergugur daripadanya. (al-Fiqh al-Islami wa ad-illatuh. 2/822-830).