Category Archives: Uncategorized

Perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Perbezaan Sambutan Hari Raya Aidilfitiri dan Hari Raya Aidiladha ada perbezaan ke antara kedua perayaan ni?. Selama ni main sambut aje. Takpe, hari ni kita sama-sama belajar ye

So apakah perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha?

1. Sambutan

Aidilfitri – Sambutan Hari Raya Aidilfitri atau juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa adalah bermula pada setiap 1 Syawal mengikut kalendar Hijrah. Hari Raya Puasa ini disambut bagi meraikan kejayaan umat Islam yang telah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan.

Aidiladha – Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban di sambut bermula pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah mengikut kalendar Hijrah. Hari Raya Korban ini disambut bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat akan perintah oleh ALLAH S.W.T. Pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah, ia dikenali sebagai Hari Tasyrik. Hari Tasyrik ni kalau nak mudah faham adalah hari selepas hari pertama sambutan Aidiladha. Pada Hari Tasyrik ni, kita dilarang berpuasa.

2. Makan Sebelum Solat Sunat Hari Raya

Aidilfitri – Sebelum kita pergi ke masjid untuk melakukan ibadah solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal, kita disunatkan untuk makan dahulu.

Aidiladha -Berbeza dengan Hari Raya Aidiladha, sunat untuk kita makan selepas melakukan ibadah solat sunat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah di masjid.

3. Solat Sunat Hari Raya

Aidilfitri – Solat sunat Hari Raya Aidilfitri dilambatkan bertujuan untuk memberi peluang kepada sesiapa yang belum menunaikan zakat fitrah untuk melakukannya. Harus diingat bahawa pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan sepanjang Ramadhan dan paling lambat adalah sebelum melakukan solat sunat Aidilfitri.

Aidiladha – Berbeza dengan solat sunat Hari Raya Aidiladha. Ia lebih awal kerana bertujuan memberi masa atau waktu yang lebih panjang bagi melakukan aktiviti penyembelihan korban. Ini adalah antara hikmah kenapa kita disunatkan makan selepas solat sunat Hari Raya supaya makanan pertama yang kita makan pada Hari Raya Aidiladha adalah daging korban.

6. Takbir Hari Raya

Aidilfitri – Takbir Hari Raya bagi Aidilfitri adalah bermula pada waktu Maghrib terakhir Ramadhan  sehinggalah selesai imam berkhutbah pada solat sunat Aidilfitri.

Aidiladha – Takbir bagi Hari Raya Aidiladha pula bermula pada waktu Subuh 9 Zulhijjah sehingga matahari terbenam pada 13 Zulhijjah.

5. Sembelihan Korban

Aidilfitri – Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tiada sembelihan korban disunatkan.

Aidiladha – Sunat untuk melaksanakan ibadat korban ketika Hari Raya Aidiladha bermula selepas solat sunat Hari Raya pada 10 Zulhijjah sehingga Asar 13 Zulhijjah. Tujuan kita disunatkan untuk menyembelih binatang seperti unta, lembu atau kambing adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia bertepatan dengan ayat 2 di dalam surah Al-Kautsar yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah

6. Ibadah Haji

Aidilfitri – Tiada ibadah haji dikerjakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri

Aidiladha – Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Ia dilakukan pada bulan terakhir dalam kalendar Hijrah iaitu bermula pada 8 sehingga 13 Zulhijjah.

So begitulah perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha yang dapat rumuskan. Kadang kita rasa bend ani tak penting tapi kalau kita singkap dengan lebih mendalam, kita akan dapat tahu perbazaannya agak ketara..semoga info hari ini bermanfaat buat semua.

Adab beraya di rumah Jiran Tetangga

Hari raya sudah menjelma, syawal yang dinanti pastinya akan meriah dengna kehadiran tetamu ke rumah dan akan banyak open house akan berlangsung semperna syawal kan?.. Satu perkara yang bagus dalam sambutan hari raya ini, apabila amalan ziarah itu seakan-akan dijadikan sebagai adat. Pada masa inilah, sanak-saudara punya ruang untuk saling berkenalan dan merapatkan ukhwah.

Amalan ini menjadi satu perkara yang terpuji kerana bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Begitulah bagaimana Islam sangat menganjurkan umatnya agar memanjangkan silaturrahim antara satu sama lain.

Pun begitu, dalam setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan tatacaranya. Islam sangat menjaga tertib dan keperibadian seorang muslim. Begitu juga dalam amalan ziarah-menziarahi di hari raya ini. Ada yang boleh kita lakukan dan ada yang kita tidak dapat lakukan.

Di sini disenaraikan enam perkara yang tidak patut dan tidak wajar kita lakukan apabila mengunjungi rumah sanak-saudara, lebih-lebih lagi di hari raya.

1- Memilih Waktu Yang Bersesuaian

Islam adalah agama yang syumul dalam semua perkara. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan dilihat dan dinilai. Hal yang berkaitan dengan diri sendiri mahupun orang lain. Semuanya diambil kira walau sekecil-kecil waktu ziarah rumah orang.

Pada hari raya, kebanyakan rumah menerima ramai kunjungan tetamu. Rumah yang sepi pada waktu lain meriah dengan kehadiran tetamu di hari raya.

Ramai juga suka berziarah rumah rakan, guru, sanak-saudara, jiran tetangga dan sebagainya. Walaupun Islam mengajar tuan rumah agar memuliakan dan menghargai tetamu yang datang, namun orang yang menziarahi itu perlu tahu juga batas dan adab mereka sebagai tetamu.

Kita tidak digalakkan menziarahi rumah orang pada waktu yang tidak sesuai. Contohnya, di awal pagi, lewat malam dan waktu-waktu yang kita sendiri merasakan tidak betah melayan tetamu.

Tuan rumah baru sahaja bangun pagi, belum sempat kemaskan bilik tidur, belum sempat mandi dan menyegarkan diri lagi kita sudah sampai. Itu adalah satu perkara yang kurang wajar.

2- Tidak Meninjau Segenap Rumah Tanpa Izin

Apabila berada di rumah orang, jangan pula suka meninjau dan check rumah orang seperti rumah sendiri. Walaupun orang yang kita rapat sekalipun, janganlah sesuka hati masuk ke dapur mereka, pergi ke tandas atau ke mana-mana kawasan rumah tanpa izin tuan rumah.

Kita harus memahami, mungkin ada sudut-sudut rumah yang agak mengaibkan dan menimbulkan rasa tidak selesa dalam diri mereka. Apatah lagi musim perayaan, dapur biasanya tidak kemas dan berselerak.

Justeru kita sebagai tetamu harus memahami perasaan tuan rumah yang mungkin malu dengan keadaan tersebut dan mungkin perbuatan meninjau rumah itu akan menimbulkan aib bagi mereka. Sedangkan Allah telah berfirman, Daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.Hadis Riwayat Tirmizi

Melainkan tuan rumah sendiri yang menyuruh masuk ataupun kita telah mendapat keizinan.

3- Menahan Diri Daripada Mengumpat

Kita juga tidak boleh bercerita dan menyebarkan keburukan serta aib orang kepada tuan rumah. Hal ini sebenarnya bukanlah perkara yang hanya tidak boleh dilakukan semasa menziarahi orang lain di hari raya. Bahkan pada setiap masa juga perbuatan mengumpat ini tidak boleh dilakukan.

Namun, menjadi sebagai satu panduan kerana hari raya biasanya banyak topik yang menjadi perbualan. Sehinggakan kadang-kadang kita tidak perasan telah berbual atau bercerita tentang keburukan orang lain. Sedangkan Allah menegaskan di dalam al Quran yang bermaksud,

…dan  janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya…”Surah al Hujrat :12

4- Tidak Terlalu Memilih Makanan Yang Dihidangkan

Kita hendaklah menghormati dan mensyukuri setiap makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah. Janganlah terlalu demand dengan juadah yang dihidangkan.

Walaupun kita sudah muak atau kurang menggemari makanan yang dihidangkan, cubalah meraikan tuan rumah juga dengan menjamah hidangan yang disediakan walaupun sedikit.

Janganlah menolak semudah-mudahnya atau mengkritik apa yang dihidangkan melainkan makanan tersebut akan memudaratkan kita jika dimakan. Diam-diam sahaja jika kita tidak menyukai makanan tersebut.

5- Mengawal Anak-Anak Dengan Sebaiknya

Awasi anak-anak kita daripada bermain sesuka hati di rumah orang. Anak-anak kecil terutamanya, tidak memahami apa yang boleh dilakukan atau apa yang tidak boleh dilakukan sekiranya tidak diberi tunjuk ajar oleh ibu bapa.

Justeru itu, ibu bapa dan orang tua lah yang memainkan peranan dalam pembentukan anak-anak. Sikap anak-anak tidak sama, ada yang pasif dan ada yang aktif walaupun berada di rumah orang, apabila melihat anak-anak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya di rumah orang, kita perlu terus menegur dan bukannya membiarkan mereka.

Contohnya, jika anak-anak bermain kejar-mengejar, menyentuh barang-barang orang sesuka hati, menumpahkan air atau berkelakuan tidak sopan, mereka perlu ditegur dengan tegas.

Itu bagi memastikan mereka tidak sewenangya menjadikan rumah orang seperti rumah sendiri. Janganlah di saat anak kita mengambil mainan anak orang, kita bersikap tidak mengendahkan perbuatan tersebut.

6- Tidak Berlama-Lama Di Rumah Orang

Kita perlu fahami, walaupun Islam mengunjurkan tuan rumah untuk melayani tetamu dengan baik, namun kita sebagai tetamu juga perlu mengerti adab sebagai tetamu.

Ada orang bila ke rumah orang, terlalu asyik bersembang hingga terlupa bahawa tuan rumah juga perlukan masa untuk diri sendiri. Tetamu harus tahu masa untuk melawat rumah orang dan juga masa untuk pulang.

Janganlah berbual sampai tak sedar tuan rumah nak sembahyang, masak dan sebagainya. Ini tidak, punyalah syok sangat berbual daripada zohor sampai nak masuk Maghrib. Justeru, bersederhanalah dalam meluangkan waktu di rumah orang.

Dalam berhari raya, banyak adab dan akhlak yang kita harus saling mengingati. Beraya bukan hanya tentang keseronokan. Walau di mana sahaja dan dalam apa jua perkara, akhlak Islamiah harus dijadikan sebagai panduan. Selamat hari raya!

Sumber: tzkrh.com

#adab #syawal #hariraya #pustakadaruliman

INDAHNYA SYAWAL KALINI

Setelah menjalani ibadah puasa Ramadhan, umat Islam kemudian menyambut datangnya bulan Syawal. Tepat pada hari RayaAidil Fitri, bulan Syawal pun dimulai. Itu bermaksud, Hari Raya jatuh pada 1 Syawal. Tak berbeza dari Ramadan, bulan Syawal juga memiliki keistimewaan yang sayang untuk dilewatkan.

Bahkan, di bulan tersebut juga terdapat keutamaan yang akan mendatangkan kebaikan bagi seluruh umat Islam yang mengamalkan sunah. Hal ini lantaran, bulan Syawal merupakan bulan kedua terbaik setelah bulan suci Ramadan. Keistimewaan bulan Syawal boleh diperoleh dengan menjalankan beberapa ibadah sunah.

Pahala Setahun Berpuasa

Keistimewaan bulan Syawal yang pertama ialah memperoleh pahala seperti setahun berpuasa. Melanjutkan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal selepas lengkap puasa Ramadan memang akan mendapat dengan pahala yang besar.

Bagi umat-Nya yang menjalankan puasa sunah ini, Allah SWT akan menjanjikan ganjaran pahala seperti berpuasa selama satu tahun penuh. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR. Muslim)

Tingkatkan Silaturahmi

Kegiatan silaturahmi sangat erat kaitannya dengan bulan Syawal. Silaturahmi sendiri menjadi salah satu kewajiban serta keistimewaan di bulan Syawal. Kerana di bulan ini banyak keluarga jauh yang berkumpul bersama merayakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah berpuasa.

Bersilaturahmi memang menjadi suatu tradisi di masyarakat. Baik itu dengan keluarga besar di kampung halaman, saudara jauh, jiran hingga para kenalan. Selain itu, sebagai amalan wajib yang dijalankan dengan penuh kegembiraan.

Bulan Syawal merupakan bulan penuh berkah dan ampunan dari Allah SWT. Untuk itu, sudah wajiblah bagi hamba-Nya saling memaafkan antara satu dengan lainnya.

Jaga Solat Malam & Ibadah Sunah

Saat bulan Ramadan, umat Islam melaksanakan ibadah wajib dan sunah dengan mengharapkan balasan berlipat ganda dari Allah SWT. Ibadah solat malam dan ibadah lainnya di malam hari pun baik untuk dilakukan.

Ada baiknya hal tersebut tidak berhenti hingga akhir Ramadan saja. Justeru dengan adanya bulan Ramadan, kita boleh biasakan diri untuk mengamalkan ibadah. Di mana sebelumnya begitu susah untuk dilakukan atau kerjakan.

Kerana sesungguhnya, mengamalkan solat malam setelah solat wajib dapat membawa kebaikan bagi diri sendiri. Maka dari itu, ada baiknya seluruh amalan sunah yang dilakukan selama bulan Ramadan haruslah diteruskan. Jangan sampai amalan-amalan baik tersebut terputus di bulan Syawal.

Zakat itu Sedekah yang Wajib

Islam agama syariat, yang menjadi panduan hidup untuk seluruh umat. Syariat menunjukkan, bagaimana untuk kita menjalani tatih hayat di atas dunia, apa yang perlu dilakukan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang mendatangkan mudarat dan apa yang menimbulkan nikmat. Syariat menentukan kaitan antara dunia dan akhirat.

Dalam kepelbagaian aturan Allah SWT yang dinamakan syariat itu, kita wajar memahami bahawa salah satu perkara yang sangat penting ialah tatacara perhubungan sesama manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita apa yang dinamakan sebagai sedekah dan zakat.

Sedekah dan zakat, dua perkara yang sama namun berbeza. Sedekah itu meliputi sama ada sedekah sunat mahu pun sedekah wajib. Sedekah sunat adalah banyak, menghantar pisang ke masjid pada hari Jumaat misalnya, adalah sedekah. Zakat juga adalah sedekah, tetapi ia adalah sedekah yang wajib.

Allah SWT berfirman yang mafhumnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka (umat Islam) sebagai sedekah, yang dengannya (ia dapat) menyucikan dan membersihkan mereka,” (at-Taubah: 103)

Kalimah ‘sedekah’ di dalam ayat di atas, bermaksud sedekah wajib, yakni zakat. Inilah pandangan ulama mufassirin yang menjadi dalil bagi terlaksananya kaedah pengambilan harta zakat waima secara paksa apabila keadaan memerlukan (insya-Allah hal ini akan kita diskusi pada lain kesempatan). Maka, fahamlah kita bahawa zakat adalah sedekah yang wajib yang pastinya mempunyai tatacara tertentu bersandarkan kehendak Islam semasa menunaikannya.

Dalam ruangan yang terbatas ini, kita ingin melihat rasional di sebalik pensyariatan zakat kepada umat Islam. Allah al-Khalik Maha Tahu, apakah keperluan manusia. Ini kerana, Dialah yang menjadikan kita maka pasti Dia jugalah yang tahu apa yang terbaik kepada kita. Termasuklah dalam hal-ehwal zakat ini.

Zakat adalah syariat yang bersangkutan di antara hubungan sesama manusia (hablumminannas). Zakat tujuannya tidak lain dan tidak bukan, ialah demi menjamin keseimbangan hidup. Ini kerana, orang-orang miskin dan kaya, akan sentiasa ada sampailah dunia ini menuju ke penghujungnya.

Golongan miskin ini hanya akan terhapus, apabila semboyan kiamat hampir ditiup oleh malaikat Israfil. Selagi itu belum terjadi, manusia kaya dan miskin akan terus wujud dan beriringan. Samalah seperti adanya malam dan siang, laut dan daratan, lelaki dan perempuan.

Dalam Islam, harta hendaklah diagihkan atau diedarkan secara saksama sesama manusia. Untuk itulah, maka Allah SWT menegah jika harta kekayaan itu hanya berlingkaran dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Ia demi mengelak daripada berlakunya manipulasi ke atas golongan yang lemah, sama seperti mana yang pernah berlaku lewat sebelum kedatangan Islam ke Kota Mekah. Kala itu, orang miskin terjerat dalam sistem pengumpulan harta oleh orang kaya, sehingga ada yang terpaksa menjadi hamba demi melunaskan hutangnya!

Maka Allah menyatakan: “Apa sahaja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu,” (al-Hasyr, 59: 7)

Zakat memastikan harta dapat dikongsi secara saksama. Setiap orang mempunyai hak, sama ada hak untuk memberi dan hak untuk menerima. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada memberikan hartanya kepada orang lain. Begitu juga, tiada sesiapa boleh mendabik dada menegah hartanya daripada diambil demi kebaikan orang lain. Ini semua mampu terlaksana dengan adanya syariat zakat.

Inilah secebis keunggulan sistem yang dititipkan Allah azzawajalla kepada kita. Ia bukan sistem yang menindas apatah lagi memeras; sebaliknya satu sistem yang sangat cantik demi melestarikan keluk keseimbangan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Wallahua’lam.

Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar

Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

Alamat Malam Qadar

Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:

  • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’“Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.
  • Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
  • Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.

Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?

Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi“Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:

قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

(Surah Yusuf: 5)

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:

  • Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)”

Riwayat Muslim: 2015

  • Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”

 Riwayat Ahmad

  • Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:

أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك

Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).

Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.

  • Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:

يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها

Maksudnya: Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.

Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1811-lailatulqadar

#muftiwilayah #lailatulqadar #1000malam #puasa #ramadan

APA HUKUM TIDAK BANGUN BERSAHUR ?

Di antara sunnah yang besar ketika puasa di bulan Ramadhan adalah melambatkan sahur dan menyegerakan berbuka. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Sabda Nabi SAW :

لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya :”Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka.” – Riwayat Al-Bukhari (1957) & Muslim (2608)

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menjadi galakan untuk menyegerakan berbuka selepas terbenamnya matahari. Dan yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah urusan umat ini akan sentiasa tersusun dan berada di dalam keadaan selagi mana mereka tidak meninggalkan sunnah ini. Jika mereka melewatkannya maka ia adalah tanda keburukan dan kerosakan akan berlaku. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 7/28)

Begitu juga dengan sahur, ia adalah sunnah yang paling besar dan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan. Ia juga merupakan pemisah di antara puasa kita dengan puasa yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain. Perkara ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Nabi SAW bersabda :

إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya :” Pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur.” – Riwayat Abu Daud (2343)

Bahkan bersahur menyebabkan kita memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Daripada Anas Bin Malik bahawasanya Nabi SAW bersabda :

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya :” Bersahurlah kerana di dalam sahur itu adalah berkat.” – Riwayat Al-Bukhari (1923)

Di antara sebab keberkatan adalah kerana sahur membekalkan tenaga dan membantu seseorang menjalani hari-hari puasa dengan mudah dengan ibadah dan amalan-amalan ketaatan.

Lebih daripada itu, Nabi SAW memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur. Perkara ini dapat diketahui melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya :” Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.” – Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya

Oleh itu, boleh kita simpulkan bahawa bersahur adalah sunnah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda. Tidak bersahur bermakna dia telah meninggalkan sunnah yang paling besar dan boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapatkan. Ya, memang puasanya sah akan tetapi berpuasa bukan hanya melibatkan sah atau tidak sah. Apa yang kita mahukan adalah keberkatan di dalam ibadah puasa yang kita lakukan. Ambil peluang pada waktu sahur ini untuk beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Inilah di antara sifat orang mukmin seperti mana yang Allah SWT khabarkan di dalam Al-Quran :

وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya :” Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” – (Surah Al-Dzariyat : 18)

Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.

#muftiwilayah #sahur #puasa #ramadan2023 #bulanpuasa