Selepas enam belas bulan, pada 17 Rejab tahun 2 Hijrah Baginda SAW solat menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis telah turun wahyu daripada Allah SWT yang menjawab permohonan doa tersebut seraya memerintahkan supaya memindahkan arah kiblat ke Baitullah. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat ke-144:
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.
Pada saat wahyu diturunkan, Rasulullah SAW sedang mendirikan solat bersama-sama para sahabat. Mendengarkan wahyu tersebut, lantas Baginda SAW menukar arah kiblat menghadap ke arah Baitullah dan para sahabat mengikuti perbuatan Baginda SAW tersebut. Awal solat Nabi SAW menghadap ke Mekah ialah pada solat Zohor di Bani Salamah. Manakala solat menghadap ke Mekah buat pertama kalinya di Masjid Nabawi ialah pada solat asar dan bagi penduduk di Masjid Quba solat pertama kali menghadap ke Mekah ialah pada solat subuh ketika mana telah sampai kepada mereka perkhabaran berkaitan penukaran arah kiblat.
Sejak daripada peristiwa tersebut, kiblat umat Islam telah bertukar ke arah Kaabah (Baitullah) yang terletak di Mekah sehingga kini.
Inilah sejarah yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW pada 1400 tahun dahulu. Selain itu, ia juga adalah sebagai satu simbolik kepada kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia bagi mentaati perintah Allah SWT dalam beribadah kepada-Nya. Semoga dengan peristiwa dan sirah Rasulullah SAW yang berlaku tersebut dapat dijadikan pedoman dan peringatan kepada umat Islam agar lebih lebih taat dan akur akan perintah-Nya dalam segala urusan
HADITH TENTANG PERPINDAHAN ARAH KIBLAT
Selepas diperintahkan Allah SWT untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda SAW ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitul Maqdis.
Maka dia berseru: “Demi Allah! Aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad ﷺ menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibnu Sa’ad dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah ﷺ dan sahabatnya.
Apabila tiba waktu Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika Baginda SAW berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah SWT memerintahkannya supaya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Baginda SAW terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah sebagai salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.
Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat Subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah SAW diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.
Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama menghadap Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar. Solat Subuh pula ialah di Masjid Quba.
HIKMAH PERISTIWA PERPINDAHAN ARAH KIBLAT
Syeikh Wahbah Zuhaili dalam Tafsir al-wasith menyebutkan ada tiga hikmah dialihkannya kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Sebagai Tanda Kebenaran Daripada Allah SWT
Kemuncak peristiwa itu ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah SWT untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan Allah SWT. Ia kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah SAW diperkenankan oleh Allah SWT pada pertengahan bulan Syaaban.
Ahlul kitab mengetahui kebenaran bahawa kiblat Nabi SAW berada di Kaabah. Atas landasan ini, Nabi Muhammad SAW yang menghadap Baitul Maqdis menjadi bahan cercaan dan hinaan. Di sisi lain, kaum musyrik berpandangan bahwa seorang utusan dari keturunan Nabi Ibrahim diutus untuk menyempurnakan ajaran Nabi Ibrahim.
Mereka pun mengejek, bahawa tidak masuk akal rasanya, jika keturunan Nabi Ibrahim tidak menghadap ke arah kiblat Ibrahim. Dengan berpindahnya arah kiblat, Allah telah mematahkan hujah-hujah dan perdebatan kelompok penentang Rasulullah SAW ini.
Seterusnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: “Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitul Maqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.”
Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu.
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًاۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّـهُۗ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيم
Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) juga akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk Kami mengetahui tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul (serta membenarkannya) dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”
Mafhumnya ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian dan kebendaan semata-mata, tetapi wasatiyyah (berada di tengah-tengah).
Kesempurnaan Nikmat Allah Terhadap Bangsa Arab
Sesungguhnya Nabi Muhammad berasal dari bangsa Arab, Al-Quran pun diturunkan dalam bahasa Arab. Bangsa Arab akan senang tatkala Kaabah dijadikan kiblat, sebab di sanalah tanah air serta kebanggaan mereka berada.
Menjadikan Umat Islam Yang Lebih Taat Dan Teguh Pendirian
Seorang muslim sejati tentunya akan taat terhadap segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Kendati hinaan dan ejekan deras dialamatkan kepada umat Islam, namun mereka tidak terpengaruh dan tetap taat kepada perintah Rasul. Hal ini menjadi bukti bahwa keimanan mereka terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah kukuh.
Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang menjadi satu kewajipan yang perlu ditaati oleh setiap Muslim ketika menunaikan ibadah solat lima waktu ke arah Kaabah kerana kewajipan solat menghadap ke Kaabah menunjukkan konsep kepatuhan mutlak seorang muslim.
Sumber: https://perkimdk.com/sejarah-peristiwa-perpindahan-kiblat-dan-hikmahnya/