NIAT MESTILAH BETUL

TANPA niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah perkara kebaikan.

Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.

Antaranya, ia terangkum dalam rukun solat, selain prasyarat supaya ibadat puasa diterima Allah SWT hatta turut dituntut ketika menunaikan zakat.

Ia dapat dikaitkan hikmah amalan memasang azam setiap kali tiba tahun baharu termasuk mengajak manusia supaya sentiasa berpegang kepada niat.

Walaupun ia bukanlah ketetapan syarak, umat Islam dibenarkan berbuat demikian dengan harapan akan mencetuskan titik perubahan dalam diri, sekali gus menjadi kayu ukur untuk lebih istiqamah.

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul-Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa dituju sahaja.” (HR Bukhari dan Muslim)

Definisi Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Lihat: Kemus Dewan Edisi Keempat, 1080]

Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:

  • Telah berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. [Lihat: al-Majmu’, 310/1]

  • Telah berkata Ibn Abidin:

قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ

Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. [Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1]

Kepentingan Ikhlas

Sifat atau niat yang ikhlas kepada Allah SWT adalah amat penting dalam setiap perbuatan dan tingkah laku kita. Ikhlas dari sudut bahasa adalah menyucikan sesuatu. Manakala menurut istilah pula adalah menyucikan amalan dengan niat yang betul iaitu kerana Allah SWT serta menghalang atau menjauhkan amalan tersebut daripada sifat menyekutukan Allah SWT (syirik). Disebabkan itu, Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an bagi menjelaskan akan kepentingan ikhlas ini.

  • Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”. [al-Baniyyah:5]

Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu:

  • Firman Allah SWT:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]

Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 144/20]

Penutup

Kesimpulannya, niat merupakan asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah diniatkan hanya kepada Allah SWT. Tambahan pula, niat juga yang akan menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Kami akhiri perbincangan ini dengan sebuah hadith yang sahih:

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu”. [Riwayat Muslim (2564)]

Semoga Allah SWT menyucikan niat dan amalan kita daripada sifat-sifat yang boleh menyebabkan amalan tertolak serta menjauhkan kita daripada sifat riyak, ujub, sum’ah dan lain-lain lagi. Amin.

SUMBER :

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1439-irsyad-al-hadith-siri-ke-142-niat-seorang-mukmin-lebih-baik-daripada-amalannya

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/09/606430/pelihara-niat-dan-ikhlas-elak-amalan-rosak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *