KENAPA UKHWAH HARUS DIJAGA ?

Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).” (Riwayat Bukhari)

Pentingnya seorang Mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah. Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik.

Firman-Nya yang bermaksud“Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al Hujurat, ayat 10)

Umat Islam yang bermasam muka, tidak bertegur sapa dengan saudara, jiran tetangga atau sesiapa sahaja hendaklah membuka jendela hati bermohon taubat kepada Yang Maha Esa dan berdoalah kepada Allah SWT semoga dilembutkan hati untuk membina kembali tautan ukhuwah sesama manusia.

Hakikatnya, kesempurnaan iman seseorang tidak hanya setakat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, bahkan menjaga hubungan sesama Mukmin juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman.

Allah SWT sangat menyukai hambanya yang memanjangkan ukhuwah serta sentiasa bertaubat di atas khilaf dan salah. Perbuatan yang baik tidak perlu ditunggu kerana kehidupan yang singkat ini haruslah diisi dengan amal perbuatan yang akan meningkatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Sumber : https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2015/08/75079/jaga-silaturahim-tanda-kesempurnaan-iman

#ukhwah #ukhwahmuslim #islamituindah #pustakadaruliman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *