HARI KANAK-KANAK SEDUNIA 2023

Sambutan Hari Kanak-Kanak ini di Malaysia disambut pada 20 November setiap tahun.
Sejak 14 Disember 1954, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO mula mengisytiharkan 20 November sebagai Hari Kanakkanak Sedunia

Sejarah Sambutan

Hari Kanak-kanak Sedunia kali pertama diisytiharkan pada tahun 1925, di Persidangan Kebajikan Kanak-Kanak Sedunia di Geneva Switzerland.

Pada awalnya, sambutan ini tidak diiktiraf secara rasmi di seluruh dunia namun pada tahun 1954, negara United Kingdom telah menggalalakkan negara lain untuk mewujudkan sambutan satu hari untuk bagi persefahaman di antara kanak-kanak dan untuk meningkatkan kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia. 

Oleh itu, Hari Kanak-Kanak Sedunia akhirnya diisytiharkan pada tahun 20 November 1959 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menerima pakai Deklarasi Hak Kanak-kanak.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Malaysia

Di Malaysia, sambutan ini kali pertama disambut pada tarikh 8 Oktober 1959 bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur.

Sambutan ini dijalankan sebaik sahaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengistiharkan tarikh ini sebagai hari untuk persaudaraan dan kefahaman dikalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Deklarasi Hak Kanak-Kanak

Deklarasi Hak Kanak-kanak merupakan dokumen antarabangsa yang mengutarakan mengenai hak kanak-kanak.

Deklarasi ini pada asalnya dicadangkan oleh aktivis hak asasi manusia Eglantyne Jebb dan diterima pakai oleh Liga Bangsa-Bangsa pada 1924.

Antara perkara yang terkandung di dalam deklarasi ini adalah seperti berikut:

  • Kanak-kanak mesti diberikan cara yang diperlukan untuk perkembangan normalnya, baik dari segi material dan rohani.
  • Anak yang lapar harus diberi makan, anak yang sakit harus dirawati, anak yang mundur harus dibantu, anak yang nakal harus dinasihati, dan anak yatim dan orang tua harus diberikan perlindungan dan pertolongan.
  • Kanak-kanak mesti menjadi orang pertama yang menerima bantuan semasa kesusahan.
  • Kanak-kanak itu mesti diletakkan dalam kedudukan yang mesti dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.
  • Kanak-kanak itu mesti dibesarkan dalam kesedaran bahawa bakatnya mesti ditumpukan kepada perkhidmatan sesama manusia.

Deklarasi penuh boleh dirujuk melalui laman web https://www.unicef.org/child-rights-convention/convention-text.

Hak Kanak-Kanak

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak mengandungi sejumlah 54 hak kanak-kanak antaranya ialah:

  • Hak untuk Hidup (Perkara 6)
  • Hak untuk memberikan pendapat mereka (Perkara 12)
  • Hak untuk mendapatkan makanan, pakaian, tempat tinggal yang selamat dan untuk memenuhi keperluan asas mereka (Perkara 27)
  • Hak untuk mendapat pendidikan (Perkara 28)
  • Hak untuk bermain dan berehat (Perkara 31)
  • Hak untuk mendapat perlindungan daripada kerja yang membahayakan mereka, dan tidak baik untuk kesihatan dan pendidikan mereka (Perkara 32)

Anak Sebagai Anugerah

Anak-anak merupakan hibah dan anugerah daripada Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Dalam Tafsir al-Maraghiy ada menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Perasaan cinta seorang ayah terhadap anak lelaki lebih besar daripada anak perempuan, kerana anak lelaki dianggap penyambung zuriat, mampu mengekalkan nama dan dapat membentuk sebuah institusi keluarga yang menjadi kebanggaan masyarakat. Di samping itu, dia menjadi tempat tumpuan harapan seorang ayah dalam menjamain kehidupan mereka. Anak lelaki juga diharapkan dapat menagangkat martabat orang tuanya. Apabila anak perempuan meningkat dewasa, mereka akan berpisah dengan keluarga dan menjadi keluarga lain. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 2 (hal. 705-706)

Anak Sebagai Ujian

Allah Taala berfirman:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”

(Surah at-Taghaabun: 15)

Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 14 (hal. 7053)

Anak Sebagai Kecintaan Jiwa Dan Syahwat

Allah Taala berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ

Maksudnya: “Dijadikan indah dalam (pandangan) manusia cinta kepada apa-apa yang diinginkan, yaitu: wanita-wanita, anak-anak”

(Surah Ali Imran: 14)

            Dalam Tafsir Ibnu Katsir telah dijelaskan bahawa kecintaan kepada anak dimaksudkan untuk kebanggaan dan sebagai perhiasan, dan hal ini termasuk ke dalam kategori (ayat) ini. Tetapi terkadang juga kecintaan pada anak itu dimaksudkan untuk memperbanyak keturunan dan memperbanyak jumlah umat Muhammad yang hanya beribadah kepada Allah; semata, yang tiada sekutu bagi Nya. Hal ini sangat terpuji, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits: “Kawinilah wanita yang dicintai (keibuan) dan yang melahirkan banyak keturunan, karena aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak, sebagai umat yang terbanyak pada hari Kiamat kelak.”

Anak Sebagai Permata Hati

Allah Taala berfirman:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”

(Surah al-Furqan:74)

            Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran telah menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa perasaan ingin supaya bilangan orang-orang yang berjalan kepada Allah sentiasa bertambah ramai terutama zuriat dan pasangan-pasangan hidup mereka, kerana golongan ini merupakan golongan di bawah tanggungjawab mereka paling dekat dan merupakan golongan amanah yang akan disoal kemudian hari, juga perasaan ingin agar seseorang Mu’min itu merasa bahawa dia adalah contoh teladan yang baik yang dapat diikuti oleh orang-orang yang cintakan Allah. Ini bukannya sikap mementingkan diri sendiri dan bukan pula berlagak angkuh kerana seluruh angkatan mereka berada di jalan menuju kepada Allah belaka. Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran jilid 11 (hal. 572).

Tanggungjawab ibu bapa

Antara tanggungjawab ibu bapa bukan skadar memberi makan dan pakai semata-mata tetapi sebagai manusia amat perlu melakukan lebih daripada itu. Antaranya:

  • Mendidik
  • Mengajar
  • Mengasuh
  • Memberi hak kepada mereka
  • Menyuruh solat dan beribadat atau amal makruf
  • Melarang sebarang bentuk kemungkaran atau nahi munkar

Ketahuilah anak adalah amanah Allah yang wajib kita sayang sedangkan binatang juga mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah campakkan pada diri mereka, inikan manusia yang sepatutnya mempunyai sifat insaniatul insan, kemanusiaan yang sudah hampir malap dalam kehidupan.

Sumber : https://studentportal.my/sambutan-hari-kanak-kanak/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *