Hubungan sesama insan dan haiwan juga penting dalam kehidupan seorang Muslim. Selain manusia, haiwan juga makhluk ciptaan Allah SWT yang perlu diambil berat dan harus berbuat baik kepadanya.
Ia juga merupakan salah satu tuntutan agama yang sering diutamakan dalam hidup masyarakat sejak zaman dahulu kala lagi.
Orang yang berbuat baik dan menjaga kebajikan kepada semua haiwan termasuklah juga anjing, dikira sebagai berbuat baik kepada binatang dan mendapat pahala di sisi Allah SWT dan keampunan dariNya.
Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada semua makhluk Allah SWT termasuklah juga kepada haiwan. Ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam al-Quran:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Surah al-An’am: 38)
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, maksud daripada ‘umat-umat seperti kamu’ di dalam ayat di atas ialah makhluk-makhluk yang dicipta seperti kamu juga. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3:253)
Begitu juga, ia juga dapat dilihat dalam hadith yang diriwayatkan oleh, apabila Rasulullah SAW menyuruh supaya memperelokkan sembelihan sebagai satu ihsan kepada binatang. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembilah, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut.
Riwayat Muslim (1955)
Berbuat Baik Walaupun Kepada Binatang
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang laki-laki yang sedang berjalan lalu dia merasakan kehausan yang sangat sehingga dia turun ke suatu perigi lalu minum dari air perigi tersebut. Ketika dia keluar dari perigi, didapatkannya seekor anjing yang sedang menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah karena kehausan. Orang itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku alami tadi”. Maka dia (turun kembali ke dalam perigi) dan diisi kasutnya dengan air dan sambil menggigit kasutnya dengan mulutnya dia naik keatas lalu memberi anjing itu minum. Kemudian dia bersyukur kepada Allah maka Allah mengampuninya”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?” Baginda SAW menjawab: “Terhadap setiap makhluk bernyawa diberi pahala”. (HR Bukhari No: 2190)
Pengajaran:
- Berbuat baik adalah dituntut kepada setiap Muslim.
- Perbuatan baik akan mendapat balasan pahala walaupun kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan. Seperti memberi binatang minum atau menyiram pokok.
- Allah mengampunkan dosa orang yang membantu haiwan yang kehausan untuk minum.
Semoga kita sentiasa berbuat baik sama ada sesama kita, kepada orang bukan Islam mahupun kepada binatang dan tumbuhan.
#pustakadaruliman #haiwan #kasihpadahaiwan #cintapadahaiwan