BERBAKTILAH KEPADA IBUBAPA .. MEREKA TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA

BERBAKTILAH-KEPADA-IBUBAPA-.

Assalamualaikum..Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. info Mudahnya islam pada kali ini adalah mengenai tanggungjawab anak terhadap kedua ibubapa kita. #infomudahnyaislam

Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka

Firman Allah SWT: Bermaksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” – al-Isra’:23

Bersedekah untuk mereka walaupun selepas ketiadaan mereka. Hal ini juga ada dinyatakan di dalam sebuah hadith.

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Sa’ad pernah bertanya Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat. Maka bolehkah aku bersedekah untuknya? Baginda SAW menjawab: Ya.” [Riwayat al-Nasa’ie (3654)]

Oleh yang demikian, kita digalakkan untuk tunaikan dan penuhi wasiat-wasiat ibubapa yang telah pergi dengan baik.
Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]

Kesimpulannya, ibubapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik. Ini kerana, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” [Riwayat al-Hakim (7263)]
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *