APA PERISTIWA PADA BULAN JAMADIL AKHIR ?

Ramai yang memandang sepi bulan ini kerana tidak banyak fadhilat di dalamnya, namun, terdapat banyak peristiwa-peristiwa besar dan penting yang berlaku di dalam bulan ini sehingga ada sejarahwan berkata : “Ajaib bagi segala yang ajaib itu ialah antara Jamadi yang dua dan Rejab.”

Jamadil Akhir merupakan bulan yang ke-6 di dalam bulan-bulan Islam. Secara umumnya Jamadil Akhir (Jamada al-Akhir) membawa pengertian pengakhiran musim sejuk dan dingin. Dari segi bahasa, ‘Jumad’ bermaksud kering atau beku dan ‘Akhir’ bererti pengakhiran atau penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami akhir musim sejuk yang begitu dingin dan terjadi kekeringan air atau kebekuan bekalan air.

Mari kita lihat antara sejarah dan peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Jamadil Akhir dan juga mari kita kongsi bersama peristiwa-peristiwa yang lain di ruang komen untuk rujukan kita bersama

Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah:

1) Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq Meninggal Dunia

Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2) Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua

Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3) Peperangan Yarmuk

Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *