MANDI SUNAT HARI JUMAAT

Sunat mandi pada hari Jumaat bagi mereka yang mendirikan solat Jumaat sekalipun solat tersebut tidak wajib atas mereka, seperti orang musafir, perempuan dan kanak-kanak. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa mandi pada hari Jumaat, sunat bagi sesiapa sahaja sama ada yang mendirikan solat Jumaat ataupun tidak.

Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِىَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ
Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat dia hendaklah mandi”.
[Riwayat Muslim (844)]

Waktu mandi sunat Jumaat adalah bermula masuk waktu azan solat Subuh. Walaubagaimanapun, mandi ketika hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat adalah lebih baik. Ini kerana lebih dekat kepada tujuan mandi tersebut, iaitu mengharumkan bau badan, menghilangkan peluh dan bau busuk.

Islam menggalakkan manusia mandi sunat Jumaat disebabkan berhimpunnya mereka pada hari tersebut supaya tiada sesiapa terganggu dengan bau yang tidak menyenangkan. Disebabkan itu juga, Rasulullah SAW melarang memakan bawang putih dan bawang merah bagi sesiapa yang ingin hadir untuk mendirikan solat di masjid.

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beramal dengan sunnah-sunnah Nabi SAW. Amin.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/989-irsyad-al-hadith-siri-ke-164-mandi-pada-hari-jumaat

pustakadaruliman #qurandaruliman #mandisunatharijumaat #solatjumaat #mandisunat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *