DOA HINDARI DIRI DARI HUTANG

Pada hari ini, anak muda khususnya dilihat sering hidup secara mewah sehingga kadang-kala sanggup berhutang keliling pinggang semata-mata untuk kelihatan hebat di depan orang lain. Malah apa yang menyedihkan, masih ada daripada mereka yang sudah lama bekerja tidak mempunyai simpanan peribadi kerana sikap yang terlalu boros dan pada akhirnya berhutang dengan orang lain setelah kehabisan wang.

DEFINISI HUTANG

Hutang atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan. Orang yang berhutang mempunyai tanggungjawab untuk memulangkan barang yang sama atau serupa dengan apa yang dipinjam tanpa apa-apa tambahan terhadap harta yang dipinjam itu.

Dalam Al Quran sendiri Allah telah menetapkan perihal hutang sebagai panduan kita agar urusan lebih telus dan terjamin.

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).” (Surah al-Baqarah: 282)

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Berdasarkan firman Allah tersebut, perlaksanaan hutang adalah dibolehkan dengan syarat mestilah ada dokumen yang sah dalam tempoh yang ditentukan oleh kedua-dua belah pihak.

Namun ada dalil yang menegaskan betapa pentingnya untuk kita melunaskan hutang seperti riwayat di bawah:
نفس المؤمن مُعَلّقة بدَيْنِه حتى يُقْضى عنه
Yang bermaksud: “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

HUKUM MEMBERI HUTANG DAN BERHUTANG

Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah SWT. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang.

Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Hukum berhutang pula adalah harus. Walau bagaimanapun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib untuk dia berhutang. Manakala hukum berhutang bagi pemberi hutang (pemiutang) adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu:

1. Haram: Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya;
2. Makruh : Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut; dan
3. Wajib : Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG

1. Hutang adalah amanah yang wajib dijelaskan.
Allah SWT memerintahkan agar kita menunaikan amanah. Hutang merupakan amanah yang terpikul di atas bahu penghutang.

Firman Allah SWT:
فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ
Yang bermaksud: “Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah: 283)

Manakala dalam Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

2. Berhutang dengan niat yang baik.
Seseorang yang berhutang hendaklah berniat untuk membayar hutangnya semula.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَن أخَذَ أمْوالَ النَّاسِ يُرِيدُ أداءَها أدَّى اللَّهُ عنْه، ومَن أخَذَ يُرِيدُ إتْلافَها أتْلَفَهُ اللَّهُ
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.” (Riwayat Bukhari)

3. Membayar hutang dengan baik.
Seseorang yang berhutang hendaklah membayar hutangnya dengan baik. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam pengembalian (hutang).” (Riwayat al-Bukhari)

TANGGUNGJAWAB WARIS MELUNAS HUTANG SI MATI

Kebiasaan masyarakat melayu Islam, apabila berlaku kematian perkara yang menjadi keutamaan adalah pembahagian faraid tanpa mengira untuk menyelesaikan hutang atau melaksanakan wasiat yang si mati pernah buat.

Seseorang yang mempunyai hutang dan kemudian dia meninggal dunia, hutangnya hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau pentadbir yang dilantik. Hutang boleh dibayar menggunakan harta pusakanya. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah al-Nisa’: 11)

Begitulah pentingnya melunaskan hutang si mati agar tidak menjadi sekatan untuk melangkah ke syurga.

Secara praktisnya, pembayaran hutang dibuat semasa proses tuntutan pusaka. Hutang dan senarai harta perlu dilampirkan bersama semasa permohonan dibuat. Oleh itu amat penting proses tuntutan pusaka disegerakan bagi memastikan hutang si mati dapat diselesaikan.

DOA HINDARI HUTANG

1) Cadangan doa Pertama

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

2) Cadangan doa Kedua


اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu. – Riwayat al-Tirmizi. Hadis hasan sahih.

3) Cadangan doa ketiga

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” – Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)

Sumber :

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/896-irsyad-al-hadith-siri-ke-180-doa-doa-untuk-melangsaikan-hutang

https://puanumi.com/hutang-hukum-berdasarkan-kepada-al-quran-dan-hadis/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *