APA KATA MUFTI UNTUK SAMBUT TAHUN BARU?

Bagi umat Islam, tahun baru mereka ialah pada awal Muharram dan pada waktu ini, mereka dianjurkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun bagi memohon kepadaNya agar tahun yang telah dilalui diberkati dan menjadikan tahun baru lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, menjadi persoalan juga buat umat Islam, adakah mereka boleh menyambut tahun baru Masihi sama seperti tahun baru Hijrah dan meraikannya dengan melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkumpul bersama keluarga atau mengucapkan ‘Happy New Year’ kepada kenalan?

Perbahasan Ulama Mengenai Hukum Sambutan

Ulama telah membahaskan secara lengkap mengenai hukum sambutan tahun baru ini. Terdapat dua pendapat mengenai sambutan ini, iaitu:

#1 – Haram Menyambutnya

Sambutan tahun baru kebiasaannya akan disekalikan dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh golongan bukan Islam dengan alasan untuk berseronok dan meraikan seperti konsert nyanyian, pakaian yang mendedahkan aurat dan hidangan yang haram seperti arak.

Oleh itu, sebahagian ulama seperti Al-Imam Al-Sani’ani RA mengharamkan kerana sambutan tahun baru diibaratkan seperti meniru sambutan golongan bukan Islam.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah tergolong darinya.” (Hadis Riwayat Abdullah Ibn Umar, no. 28310)

Malah, dalam Islam, sambutan tahun baru yang sebenarnya ialah pada awal Muharram dan Baginda SAW dilihat berdoa pada waktu ini bagi meraikan tahun baru umat Islam. Tiada dalil dan riwayat yang sahih berkenaan sambutan tahun baru selain daripada tahun baru Islam.

#2 – Harus Menyambutnya

Sebahagian ulama lain seperti daripada Mazhab Syafi’e menghukumkan harus dalam sambutannya dan mengucapkan ‘selamat tahun baru’ sama ada kepada orang Islam mahupun bukan Islam.

Jika terdapat majlis sambutan tahun baru, dibenarkan juga menghadirinya selagi majlis tersebut tidak bercampur dengan perkara yang haram seperti hiburan yang melampau, hidangan yang haram dan pembaziran.

Mereka berpendapat demikian kerana penerimaan terhadap kalendar moden (Masihi) merupakan penggunaan yang digunakan pada masa kini secara meluas dalam kehidupan seharian. Tidak seperti sejarah terdahulu yang mengaitkan kalendar Masihi ini dengan agama. Kini, masyarakat menggunakannya sebagai adat semata-mata dan tiada kena-mengena dengan agama lain.

Berdasarkan sebuah kaedah Fiqhiyyah ada menyebut mengenai sesebuah hukum yang bergantung kepada adat;

العَادَةُ مُحَكّمَةٌ

Maksud: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.” (Al-Suyuti, Al-Ashbah wa Al-Naza’ir. hlm 89)

Kesimpulan

Tuntasnya, selagi perkara dan sambutan itu tidak mendorong atau bercampur dengan perkara yang haram dan melanggar syara’, maka tiada masalah untuk menyambut dan mengucapkan tahun baru.

Tidak menjadi kesalahan untuk menghadiri undangan sambutan tahun baru, tetapi perlu diingat akan garis panduan yang telah ditetapkan Islam seperti tidak menyambut di rumah agama lain (gereja atau kuil), tiada unsur maksiat dan pembaziran.

Adalah lebih baik untuk menyambut tahun baru dengan muhasabah kembali diri dan apa yang telah berlaku sepanjang tahun sekali gus memperbaharui azam tahun baru dengan berusaha ke arah yang lebih baik.

Semoga tahun baru yang mendatang ini akan memberikan kebaikan buat diri sendiri dan orang sekeliling dengan niat dan azam yang baik.

Wallahu a’alam.

Sumber: Mufti Wilayah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *